rss
email
facebook
ikram

Pages

Aug 21, 2010

Kau seorang da'ie dan kau juga Qudwah wanita solehah..

Bismillah.

Saya yakin. Kamu dan saya menambat hati dan menaruh harapan untuk mencerna kebaikan serta menjadi seorang wanita bergelar wanita solehah.

Kala membaca kisah Saidatina Siti Khadijah, Siti Aisyah, Siti Fatimah, Siti Hajar dan wanita solehah yang selain mereka, pasti terpahat satu anganan dan harapan untuk mencontohi semangat dan peranan mereka.

Dan tidak satupun nama berikut adalah gadis sunti. Bermakna, semua adalah wanita, isteri dan ibu.

Kita dijadikan oleh Allah Ta'ala bersama dengan satu sifat iaitu suka memberi kasih sayang.
Kasih sayang itu, kita tunjukkan dengan melayani, menyenangkan serta membelai.

Kita juga dijadikan bersama kelembutan.
Itu fitrah kita.

Pasti kamu faham kan.

Fokus penulisan ana,
Sebetulnya, realiti tak seindah idea. Sebenarnya, di dunia nyata seolah tidak mengalukan niat kamu itu. Tapi, sudah menjadi kemestian kamu perlu tegar dengan sehabis upaya. Sebelum itu, ana menekankan juga bahawa kita juga barisan du'at. Dan sifat sosial serta 'mampu didekati' adalah satu kelaziman. Tidak dapat dipisahkan. Jika difikir-fikir, kadang-kadang fitrah kita menjadi aset. Kadang juga menjadi liabiliti/fitnah.

Dunia realiti mengajar kita cara untuk mencanaikan bahan bacaan kita selama ini. Solehah itu memerlukan konsisten. Pada masa yang sama, dakwah pula perlu dilaksanakan.
InshaAllah, ada caranya.


1. Bercakaplah tapi bersederhanalah

Bukanlah 'kesolehan' menjadi idea penyebab kita kurang berkomunikasi dengan mad'u. Maksud ana, bila seorang lelaki menghampiri dan bersikap ramah. Kemudian, dia bertanya soalan lazim; 'sekolah agama eh dulu?', 'asal mana?'. Menilai keadaan itu, kita terus diam tanpa buat endah apa yang ditanyanya mata ditundukkan dan muka blur. Bukan itu. Jawab sekadarnya. Tunjukkan riak yang minat dan cakaplah dengan jelas.

Juga bukanlah karakter 'du'at' pada kita memberi makna ketika bercakap dengannya, kita senang hati dan tidak berjaga-jaga. Senyuman kita 'tak sengaja' meleret tak cukup ruang pipi. Mata 'tak sengaja' dikebil dilirikkan. Suara dan tawa 'tak sengaja' dilunakkan. Adapun, tatkala bertembung dengan lelaki kenalan itu, kita dahulu menyapanya. Bukan itu karakter kita. Cuba untuk menjawab dengan seringkas mungkin. Contohnya; "Ya, saya sekolah agama." Tak perlu dipanjang lebar. Nilai keadaan.

Keadaan berbeza bila dia bertanya dengan lebih lanjut. Terangkan sahaja dengan sederhana.


2. Cuba sedaya upaya untuk duduk sama rendah diri sama tinggi

Segi contoh yang lain, di samping kawan-kawan perempuan yang sama. Kadang-kadang, suara dan percakapan kawan-kawan kita itu bernada tinggi dan hilai tawa melangkaui maksimum. Terkangkang, terjerit. Bukanlah bermakna, kita tidak boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Bukanlah bermakna kita mewujudkan perbezaan yang ketara dengan terlalu menegur kesilapannya.

Bukan itu jadi janganlah buat demikian.

Sebenarnya, wanita solehah sangat suka didampingi perempuan-perempuan lain(walaupun mereka nampak seperti 'tak berminat' dengan solehah). Padanya ada satu sifat yang menyenangkan dan bukan merimaskan. Jangan merimaskan mad'u kita dengan hujan teguran.

Berhaluslah dan bersenilah.

Pada hal yang sama, janganlah mengikut atau terikut-ikut dengan keadaan. Contohnya, apabila ruang umpat-mengumpat ini terbuka. Janganlah kita hanya membiarkannya untuk merasa selesa. Jangan kita pula yang mengiyakan umpatan mereka. Tutuplah pintu umpat itu.

Sebenarnya, agak sukar untuk cuba duduk sama rendah diri sama tinggi. Tapi, kita harus tetap mencuba. Kerana ini akan mencipta persamaan. Dan persamaan akan menghubungkan hati. Berhubung dengan hati adalah dengan membuka jalan ke hati kita.

Kekalkan sifat kelembutan dan kesopanan.

3. Menyampaikan

Kalah juga kita sebenarnya andaikata selalu memilih untuk berdiam. Benar ia nampak selesa, tapi kelak Allah akan tanya. Adakah kita telahpun menyampaikan?

Fikrah kita bukan sahaja anugerah tapi amanah.

Kadang-kadang nak diam punya pasal, kita selalu terlepas peluang yang datang sebagai peluang ta'rif.

Grab the moment when it comes. Be ready.

Makan, main badminton dan waktu solat. Senang kata semua ruang lingkup hidup kita memberi peluang tazkirah yang paling optimum.

4. Belajar menerima..

Ini baru. Selalunya kita tekankan pemberian demi pemberian (ta'rif atau materi). Reverse psychology, ciptakan suatu suasana yang memberi asbab kita dapat menghargai kelebihan nya/kebaikannya terhadap kita.

Contoh, setiap petang ana akan bermain badminton dengan rakan-rakan sekelas. Dari itu, ana minta tunjuk ajar untuk lebih handal dalam bermain badminton. Tunjukkan minat yang tinggi raih kepuasannya mengajar kita sesuatu.

Dia akan sedar, penampilan kita fleksible serta minda kita terbuka untuk menerima kritikan dan tunjuk ajar.

Lagi satu, penuhi setiap ajakan mereka. Seperti temankan untuk membayar yuran di pejabat admin, temankan untuk membuat research di libary. Tetapi, bina garisan yang tegas bahawa kamu tidak penuhi ajakannya untuk outting bersama lelaki ataupun pergi tengok wayang, karaoke dan sebagainya.

Mereka akan sedar kita vibrant bergerak kecuali ke tempat keburukan dan sia-sia atau dengan cara yang tidak syar'ie.

Inilah makna benar solehah.

Lama kemudian, mereka datang mengemukakan apa yang difikir-fikir dalam hati mereka. Tika itu, cakna dengan baik saat yang ditunggu-tunggu sangat tu.


Konklusi:

Solehah tidak menjadikan kita menyendiri dengan fikiran yang beku dan tidak kreatif. Dan sebenarnya, wanita solehah itu dalam ruang lingkup upaya kita. Tak lari dari fitrah serta berkadar terus dengan naluri kewanitaan. Apa yang kita lakukan cuma, memurnikan ia.

Kemudian, menghidupkan amalan-amalan dalam Islam itu sendiri merupakan alat dakwah kita. Pertama, ia memasarkan Islam (yang sebenarnya). Kedua, ia memancing hati dengan keindahan Islam.

Moga Allah meredhai dakwah kita.